Thursday, April 8, 2021

PENGENALAN PUSAT SUMBER SEKOLAH


            Permulaan penubuhan Pusat Sumber Sekolah telah dibina bersama- sama dengan bangunan Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2, pada tahun 2004. Pusat Sumber Sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran yang diurus secara sistematis. Pusat Sumber Sekolah menyediakan maklumat, perkhidmatan dan keperluan bagi memperkukuhkan pengajaran untuk penguasaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dasar Pengurusan Pusat Sumber Sekolah diwujudkan untuk memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi yang menepati piawaian dan terkini, diurus dengan cekap dan berkesan, dan digunakan secara optimum bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.

                Selain itu, Pusat Sumber Sekolah mempunyai kemudahan fizikal dan infrastruktur yang sesuai dan memenuhi fungsi dan peranannya, Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi bahan yang menepati piawai dan terkini, Pusat Sumber Sekolah diuruskan dengan cekap dan berkesan sesuai dengan kemajuan teknologi maklumat masa kini, Pusat Sumber Sekolah diuruskan oleh Guru Perpustakaan dan Media yang menepati syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan dalam pekeliling semasa, Pusat Sumber Sekolah sentiasa meningkatkan usaha untuk melaksanakan aktiviti penggalakan membaca dan literasi maklumat dalam meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.

            Antara peranan Pusat Sumber Sekolah Sekolah Kebangsaan Wawasan ialah merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang komprehensif, seimbang dan kemas kini yang selaras dengan keperluan kurikulum dan memenuhi keperluan warga sekolah, menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan individu atau kumpulan. Bahkan, Pusat Sumber Sekolah memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses carian, penghasilan dan penggunaan maklumat serta menyediakan kemudahan, peralatan dan bahan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi. Apa yang utama ialah menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan. Program dan halatuju PSS di Malaysia adalah sejajar dengan perkembangan ICT masa kini. PSS kini bukan hanya terdiri daripada bahan cetak semata-mata (buku, surat khabar, jurnal, majalah) malah merangkumi bahan berbentuk elektonik dan digital (courseware, e-bahan, eduweb TV, e-book, audio book, e-jurnal, newspaper online). Justeru itu, PSS SK Wawasan menyahut cabaran untuk meningkatkan kualiti PSS bagi tahun 2021 dengan menerbitkan blog, buletin, ebook dan keperluan digital selaras dengan perkembangan teknologi terkini.